Interview

Langkah Sheraton: Perspektif Khalid Jaafar

  • Tokoh wawancara: Khalid Jaafar, Institut Kajian Dasar (IKD)
  • Tarikh/tempat wawancara: 8 Julai 2020, MIDA, Kuala Lumpur
  • Nama projek penyelidikan: 2020/01 – Langkah Sheraton
  • Tema projek penyelidikan: political performance, social perfomance, cultural trauma, cultural sociology

IM: Mengapa Langkah Sheraton?

KJ: Setiap individu, khususnya ahli politik, tidak terelak untuk mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip atau falsafah politik yang dipegangnya. Begitu juga dengan satu-satu organisasi. Contoh sejarah yang boleh kita lihat di sini adalah kerjasama yang terbentuk antara UMNO dengan MCA dalam Pilihan Raya Perbandaran 1952. Kerjasama tersebut dapat dilihat sebagai suatu ‘kebetulan’. Kalau kita lihat dari sudut kesamaan pendirian dan falsafah politik, seharusnya MCA itu bekerjasama dengan the Independence of Malaya Party (IMP) memandangkan kedua-duanya berkongsi pendirian politik yang sama—Malaya seharusnya menjadi Crown Colony terlebih dahulu dan bersedia secara berperingkat sebelum boleh merdeka. Berbeza pula dengan UMNO di bawah Tunku Abdul Rahman yang mahukan Malaya merdeka secepat mungkin dan pemerintahan Malaya merdeka tersebut haruslah berteraskan Melayu. Jika disemak sejarah, saya fikir antara individu penting yang berperanan menjadi orang tengah dalam kerjasama UMNO-MCA ini adalah Tun HS Lee yang sering berseberangan dengan Dato’ Onn. Ini juga pandangan yang dikongsikan oleh Tun Dr. Ismail. HS Lee akan berbuat apa saja untuk menyekat kemaraan Dato’ Onn; dan apabila beliau lihat UMNO juga berseberangan dengan Dato’ Onn, maka direncanakan kerjasama antara UMNO-MCA. Justeru dapat kita lihat di sini bahawa pembentukan Perikatan itu sendiri merupakan suatu kebetulan. Ada juga mengatakan bahawa kerjasama UMNO-MCA tersebut juga adalah hasil daripada perseteruan antara Tun Tan Cheng Lock dengan Dato’ Onn. Bagaimanapun, tafsiran-tafsiran ini memperlihatkan bahawa wujudnya agensi politik (political agency) pada individu-individu ini dalam perencanaan politik mereka. Aspek agensi politik ini juga penting dalam membantu kita mentafsirkan peristiwa-peristiwa baru seperti apa yang disebut-sebutkan orang sebagai Langkah Sheraton. Secara peribadi, saya berpandangan tidak ada apa yang dipanggil Langkah Sheraton tersebut. Apa yang berlaku di Hotel Sheraton pada waktu itu adalah garis penamat bagi usaha, bak kata Prof. Ulung Shamsul AB, penjajaran semula politik Malaysia.

IM: Kalau Langkah Sheraton adalah garis penamatnya, maka di manakah titik permulaan tersebut?

KJ: Saya fikir titik permulaannya banyak. Kita harus lihat peranan Tun Mahathir, Azmin Ali, Anwar Ibrahim, dll. Setiap aktor politik mempunyai agensi mereka sendiri dalam mempengaruhi trajektori politik semasa. Kesemua dinamik yang kompleks ini pula kemudiannya akan dikaji oleh penganalisis-penganalisis politik untuk satu jangka masa yang panjang. Begitupun, saya juga bersetuju dengan tipologi yang diutarakan oleh Prof. Ulung Shamsul AB berkenaan jalur-jalur rupa kepada bangsa idaman yang ada khususnya rupa masyarakat majmuk pimpinan Melayu. Saya pernah katakan sebelum ini—selaku aktivis sejak Reformasi, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, sehinggalah Pakatan Harapan—bahawa komposisi organisasi tersebut tidak sekata dan tidak pula benar-benar mencerminkan demografi masyarakat di negara ini. Kita harus sedar bahawa demokrasi ini adalah permainan angka. Justeru kalau satu-satu organisasi itu tidak mencerminkan demografi tersebut, tentulah akan berlaku ‘pemberontakan’ dari dalam demografi itu sendiri.

Kemenangan PH dalam PRU14 sebelumnya dapatlah dilihat sebagai suatu kemenangan taktikal semata-mata tanpa ada asas demografi yang kuat. Namun lambat-laun, ia pasti akan ditolak oleh masyarakat Melayu. Memang, pada ketika itu sebahagian masyarakat Melayu termasuklah pegawai-pegawai kerajaan tidak dapat menerima skandal 1MDB, tetapi apa yang mendorong mereka untuk membuang undi kepada PH adalah sosok Tun Mahathir di depannya. Kehadiran Tun Mahathir ini memberikan semacam jaminan serta keyakinan akan penerusan corak pimpinan Melayu oleh PH—suatu anjakan taktikal. Namun jika dilihat dari sudut ini, sukar untuk kita mengatakan bahawa model tersebut akan kekal stabil. Oleh itu kita lihat PH mengalami kekalahan demi kekalahan dalam siri PRK yang berlangsung selepas PRU14 walaupun ia masih lagi dipimpin oleh Tun Mahathir. Dan ini ditambah pula dengan ketiadaan usaha daripada pihak PH untuk membetulkan suasana tersebut. Tambah buruk, kepimpinan yang bakal mengambil-alih tampuk pemerintahan—Anwar Ibrahim—dilihat terlalu bergantung kepada DAP.

Saya fikir persoalan demografi ini merupakan satu perkara yang penting. Jika dilihat semula, kemenangan PH dalam PRU14 setidak-tidaknya disumbangkan oleh gabungan tiga faktor dominan iaitu (i) sokongan masyarakat Cina yang kuat, (ii) anjakan taktikal hasil pengaruh kuat Tun Mahathir terhadap masyarakat Melayu, serta (iii) sokongan masyarakat kelas menengah Melayu yang rata-ratanya menolak 1MDB. Di balik faktor-faktor ini, tidak ada asas demografi yang dapat menyumbang kepada kemampanan pemerintahan PH.

IM: Kalau begitu, adakah politik Melayu, atau tepatnya politik kaum dan agama dalam konteks Malaysia ini, masih lagi relevan dalam perbahasan politik demokrasi itu sendiri?

KJ: Ya. Kita juga terperangkap dengan cara analisa mengikut lensa perkauman. Dalam konteks demokrasi itu sendiri, umum tidak mengatakan bahawa demokrasi Amerika merupakan demokrasi white supremacy dengan majoriti masyarakat kulit putihnya. Di Malaysia pula tidak begitu, umum melihatnya sebagai demokrasi ketuanan Melayu. Nah, kalau mengikut logik demografi, secara kolektifnya Melayu memang majoriti kerana mereka ada angka tersebut. Bahkan jumlah peratusan masyarakat Melayu sekarang jauh lebih besar berbanding zaman pra-merdeka dahulu. Saya fikir di sinilah timbulnya rasa tidak senang tersebut. Di balik peningkatan jumlah peratusan Melayu dalam populasi tetapi persepsi yang dikongsi dalam kalangan Melayu kebanyakan adalah penghakisan kuasa Melayu sedikit demi sedikit. Ada percanggahan antara persepsi dengan realiti. Dan perkara ini tidak dapat dijelaskan dengan baik sepanjang dua tahun pemerintahan PH.

IM: Hakikatnya, Melayu itu sendiri adalah suatu yang rencam, tidak homogen. Soalannya, adakah tepat untuk kita menggunakan pendekatan demografi dalam mengukur dan memukul rata Melayu sebagai suatu entiti dan kehendak etnik yang tunggal, baik dalam analisis kemasyarakatan mahupun dalam perancangan dasar serta dalam strategi politik?

KJ: Memang, istilah Melayu ini sering merupakan suatu generalisasi. Beberapa contoh sejarah di sini. Siapa yang membuka Kuala Lumpur? Orang Mendeiling, tetapi mereka dipanggil sebagai Melayu. Begitu juga dengan Perang Naning di Melaka dahulu, orang melihatnya sebagai pertempuran antara Melayu dengan British walhal hakikatnya ia merupakan orang Minang. Apakah ketika Dato’ Onn menubuhkan UMNO dan menggunakan nama ‘Melayu’ itu, beliau tidak maklum akan kepelbagaian yang wujud di bawah payung Melayu tersebut (Jawa, Mendeiling, Rawa, dsb.)? Sudah pasti beliau sedar akan hal tersebut. Begitu juga dengan keturunan-keturunan peranakan Arab dan India yang ramai menggunakan identifikasi Melayu secara politiknya. Justeru, secara kolektifnya, identifikasi tersebut adalah Melayu.

IM: Selain demografi sebagai penanda utama dalam pembuatan keputusan politik, kita juga dihadapkan dengan persoalan moral. Dalam politik demokrasi, moral turut memainkan peranan penting dalam proses mobilisasi masyarakat atau bahkan dalam pembentukan parti politik itu sendiri. Pada pandangan anda, adakah moral masih lagi merupakan unsur penting dalam politik pada masa kini?

KJ: Ya. Moral, keadilan, kesaksamaan, ketelusan dsb. penting dalam politik. Dan dalam konteks Malaysia khususnya, ia sudah menjadi suatu aspek yang umum atau sejagat. Dalam erti kata, ia tidak lagi hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak seperti PH. Ada juga orang-orang dari UMNO yang melanggan idea berkenaan moral ini misalnya dalam penolakan-penolakan terhadap skandal 1MDB. Justeru kita tidak boleh mentah-mentah melihatnya secara hitam-putih; misalnya PH bermoral manakala PN tidak bermoral. Bagi saya ini merupakan pandangan yang cetek; dan saya tidak fikir hanya PH sahaja yang ada monopoli serta tuntutan terhadap agenda reformasi.

Demokrasi kita di Malaysia ini berbentuk demokrasi permuafakatan (consociational democracy). Kita harus faham bahawa kita mengamalkan demokrasi perwakilan iaitu seorang calon individu mewakili satu-satu kawasan pilihan raya. Calon yang mewakili parti-parti tertentu dipilih berdasarkan dasar-dasar yang dibawanya. Dan pada satu sisi lagi, calon itu juga mempunyai otonomi atau agensinya sendiri. Dalam hal ini, calon tersebut boleh, apabila dirasakannya perlu, untuk mengambil keputusan untuk menukar parti dsb. atas kepentingan kolektif yang diwakilinya.

Apa yang dikatakan sebagai kerajaan pintu belakang tersebut hanya sekadar propaganda cetek. Tidak tepat untuk memanggilnya begitu memandangkan ia ditubuhkan mengikut lunas perlembagaan yang sebenar. Pandangan yang mengatakan bahawa ia merupakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat juga tidak benar. Seperti saya katakan tadi, ahli-ahli parlimen ini di samping membawa mandat daripada pengundinya, turut bertanggungjawab memikirkan manfaat terbesar yang dapat diberikan kepada pengundi-pengundi mereka. Keputusan untuk menukar parti, membentuk pakatan baru, dsb ini merupakan kebebasan yang ada pada setiap ahli parlimen—dan sudah tentu, ia dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap kepentingan rakyat. Dari segi pakatan politik, ahli-ahli parlimen ini berasakan bahawa gabungan PH tidak mampu untuk jadi sebuah gabungan yang mampan, di samping tidak dapat penuhi janji-janjinya kepada rakyat, dsb.

Baik mereka ini kekal bersama PH atau membentuk gabungan baru, pada akhirnya semua ahli parlimen ini akan berdepan kembali berdepan dengan rakyat apabila mereka bertanding semula dalam PRU nanti. Dan pada ketika itulah mereka dapat melihat apakah keputusan yang diambil sekarang ini merupakan suatu yang tepat atau tidak. Hal yang sama jika mereka bertindak sebaliknya—jika mereka kekal dalam PH dan keputusan tersebut tidak dipersetujui rakyat, maka mereka juga berpotensi untuk dihukum oleh pengundi dalam PRU akan datang. Pada akhirnya, keputusan yang diambil pada hari ini akan ditentukan salah betulnya pada PRU nanti. Ini adalah suatu bentuk budi bicara yang ada dalam demokrasi perwakilan kita.

IM: Kita telah menyaksikan perubahan kerajaan susulan daripada apa yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton tersebut—naiknya gabungan baru iaitu Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan. Soalannya, apakah kelebihan atau faedah yang diperoleh rakyat setelah perubahan ini?

KJ: Pertamanya, kita dapat membendung wabak COVID-19 dengan lebih baik. Kalau dibandingkan dengan tindakan serta kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin PH sebelumnya, kita dapati bahawa pimpinan PN sekarang mengambil pendirian yang lebih tegas dalam membendung wabak tersebut. Hal ini termasuklah pengerahan tentera bagi memperketat pelaksanaan PKP tempoh hari, di mana pada awalnya ia ditentang oleh PH. Dan kita kemudiannya dapat lihat bahawa ia merupakan satu keputusan yang tepat. Di samping itu, kita juga dapat lihat tindakan segera kerajaan PN melalui bantuan-bantuan dari sudut ekonomi berprinsipkan keseimbangan antara pemeliharaan nyawa rakyat dengan pemeliharaan mata pencarian mereka. Sekarang kita sudah hampir membuka sepenuhnya sektor-sektor ekonomi yang ada. Sudah tentu, awalnya langkah ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak. Namun apabila kita semak data, kita dapati bahawa tindakan kerajaan PN ini adalah berlandaskan fakta dengan menyemak perkembangan wabak COVID-19 dalam negara serta keperluan semasa. Kita sekarang ini memasuki fasa kebiasaan baharu (new normal).

IM: Adakah beberapa kejayaan yang diperoleh PN seperti yang anda sebutkan tadi sekaligus turut menandakan kelemahan pemerintahan Tun Mahathir dan kerajaan PH sebelumnya?

KJ: Saya fikir cabarannya besar. Ini merupakan kali pertama kita mengubah kerajaan. Pembentukan kerajaan baharu buat kali pertama ini turut bermakna masuknya mereka yang kurang berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran dan pemerintahan. Namun Tun Mahathir, sebagai pemimpin nombor satu, juga bertanggungjawab dalam memastikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar. Dalam hal ini, saya fikir ramai yang maklum akan masalah yang dihadapi beliau dalam PH. Suara-suara yang mengatakan kerajaan PH akan jadi kerajaan sepenggal semakin lantang berikutan meningkatnya kegelisahan masyarakat Melayu serta pegawai-pegawai kerajaan terhadap peranan dominan DAP dalam kerajaan PH. Persepsi ini semakin menguat akibat peranan DAP yang kelihatan begitu dominan; dan ditambah lagi dengan cara Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng, yang dilihat sentiasa cuba meraih political score dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan serta kecenderungan Kementerian Kewangan untuk membolot kredit daripada pelaksanaan dasar-dasar yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa kementerian lain—baik kesihatan, agama, dsb. Misalnya program-program seperti MySalam, agihan bantuan banjir, dsb. perlu melalui Kementerian Kewangan terlebih dahulu, seolah wujudnya “keprihatinan” dari Kementerian Kewangan.

Malangnya, “keprihatinan” yang cuba ditonjolkan ini tidak halus caranya serta memakan diri, apatah lagi jika kita mengambil kira persepsi masyarakat Melayu terhadap DAP yang sudah sedia buruk. Jadi seharusnya juga menjaga sensitiviti—ada cara atau gesture, kehalusan yang perlu difahami terlebih dahulu. Lalu apabila kita bercakap soal hegemoni Melayu, ia tidak semata-mata merujuk kepada jumlah majoriti. Kita perlu faham tentang psikologi Melayu yang dalam jauh mendahului perjuangan menentang Malayan Union atau tuntutan kemerdekaan. Dalam hal ini, Melayu merupakan bangsa—dan kebudayaan—yang menjadi dasar kepada penciptaan institusi kerajaan; bermula dari zaman sebelum kedatangan Islam, selepas kedatangan Islam, kesultanan, sehingga sekarang. Pendek kata, bentuk institusi pemerintahan yang kita lihat sekarang ini datangnya daripada Melayu. Perkara ini harus difahami. Mengapa Melayu berasakan ia mesti memerintah? Jawapannya adalah mereka menganggap itu sebagai suatu tanggungjawab kerana merekalah yang membentuk institusi pemerintahan di tanah ini. Lihat sahaja Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Hang Tuah, dll. Jadi inilah konteks yang terdapat di Malaysia. Namun hal ini menjadi masalah apabila golongan-golongan yang cenderung mengambil sikap ‘anti-establishment’ mentah-mentah merujuk keadaan ini sebagai hegemoni Melayu. Pandangan sebegini terlampau simplistic. Ia tidak sahaja melibatkan masalah demografi tetapi merangkumi akar psikologi yang mendasari sistem politik dan pemerintahan rantau ini. Justeru penjajaran semula politik Malaysia ini juga merupakan cerminan kepada hal tersebut.

Saya melihat apa yang berlaku dengan kerajaan PN ini adalah suatu sintesis dalam konteks politik moden Malaysia. Tesis itu terbina ketika rundingan-rundingan yang menjurus kepada kemerdekaan tanah air. Orang selalu bercakap tentang kontrak sosial untuk menggambarkan hubungan antara kaum di Malaysia. Realitinya boleh di dapati dalam sejarah rundingan-rundingan politik yang berlaku dalam pilihan raya ketika itu—Pilihan Raya Perbandaran 1952, Pilihan Raya Umum 1955, dan seterusnya ini merupakan kontrak sosial yang berlaku secara zahirnya. Rundingan antara tiga kaum utama pada ketika itu berkenaan taraf kerakyatan di mana kaum Cina dan India diberikan kerakyatan jus soli; dan sebagai ganti, mereka harus mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, dan Raja-raja Melayu. Jadi itulah kontrak sosial yang sebenar, dan penerimaan atau pengiktirafan terhadap kontrak tersebut terbukti melalui kemenangan yang dikecap oleh Perikatan ketika itu. Kemudian dimaktubkan pula dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu kembali kepada perkara tersebut—kepada akar pembentukan Perlembagaan—untuk memahami segala pertikaian, rundingan, serta kompromi yang wujud dalam tuntutan kemerdekaan tersebut. Justeru saya fikir agak kurang tepat untuk menanggapi perkara ini dari lensa yang berbentuk egalitarian kerana ia mungkin tercabut daripada akar sejarahnya. Memang, semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Namun siapa atau kumpulan mana yang memerintah, persoalan-persoalan hak keistimewaan, dsb perlu dilihat dari konteks sejarah pembinaan negara ini. Generasi muda masa kini perlu faham perkara tersebut. Penjajaran semula politik Malaysia yang terzahir lewat pembentukan PN ini sebenarnya merupakan pengembalian semula kepada kontrak sosial asal. Saya tidak katakan tiada langsung perubahan sepanjang lebih 60 tahun ini, tetapi fundamental kepada semua ini adalah kontrak sosial.

Tahun 1998, muncul gerakan Reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim—kemudian berevolusi menjadi Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan Pakatan Harapan. Kita boleh tanggap idea Reformasi ini sebagai anti-tesis kepada kontrak sosial asal. Dan anti-tesis ini juga mencerminkan perubahan dalam masyarakat Malaysia dari segi pemikiran, politik, kesedarang tentang hak asasi kemanusiaan, pemberdayaan demokrasi, integriti, dsb. Idea-idea ini kemudian diperkukuhkan menjadi sebuah Gerakan sosial dan politik yang mapan sehingga mampu menumpaskan BN dalam PRU14. Namun nampaknya perubahan ini tidak mampu bertahan lama—hanya dua tahun sahaja. Apa yang kita lihat berlaku dalam ‘Langkah Sheraton’ tersebut adalah pembetulan semula kepada landasan asal. Orang mengatakan landasan asal ini adalah berpaksikan UMNO-BN. Memang, saya tidak nafikan perkara tersebut. Namun kita harus maklum bahawa landasan asal ini juga merupakan cerminan kepada muafakat (consensus) rakyat Malaysia berkenaan teras pemerintahan negara—tesis tersebut. Dan kita juga harus maklum bahawa anti-tesis yang dizahirkan melalui PH ini juga telah menjadi suatu hal yang dominan atau arus perdana dalam kalangan masyarakat setelah PH memenangi PRU14. Pada pandangan saya, tugas terpenting bagi PN sekarang adalah untuk melakukan sintesis dengan menggabungkan pengalaman politik dan demokrasi Malaysia sejak Pilihan Raya Perbandaran 1952 bersama-sama dengan evolusi masyarakat Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang semakin berkembang maju dari aspek pemikirannya tentang pendemokrasian, hak asasi, dsb. Jika dilihat dari sudut ini, maka nilai-nilai sejagat tersebut tidak lagi menjadi suatu perjuangan yang eksklusif dimiliki oleh pihak pembangkang melainkan sudah menjadi pemikiran arus perdana. Jadi ia perlu diintegrasikan agar dapat kita angkat suatu sintesis yang mendukung suatu rupa kepada bangsa Malaysia. Pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan sama ada sintesis ini diterima atau ditolak.

IM: Pendekatan dialektika yang anda gunakan dalam menganalisa perkembangan politik dan masyarakat di Malaysia melihat PN sebagai suatu sintesis. Soalannya, adakah penggunaan sintesis—sebagai suatu hujah ini—menunjukkan bahawa politik dan masyarakat kita sebenarnya sedang berkembang maju dan akan menjadi lebih baik dan lebih baik lagi?

KJ: Sintesis ini tidak semestinya bermaksud kemajuan. Saya fikir kemajuan sebagai suatu hal yang tidak terelakkan ini tidak betul. Ada banyak bukti-bukti dalam sejarah yang menunjukkan perkara sebaliknya. Sudah tentu kita mengharapkan hasil yang lebih baik—suatu kemajuan. Dan setiap bangsa itu punya pengalamannya sendiri; jadi kita ambil pengalaman yang bagus. Dalam hal ini, prasangka-prasangka yang melihat segala apa yang dikaitkan dengan UMNO-BN, dan sudah tentu PN sekarang, adalah hal yang buruk merupakan suatu pandangan yang serong. Ternyata Malaysia terus maju dari segi ekonominya, pendidikan, sosial, dan bidang-bidang lain. Di sisi lain pula, kita tidak boleh nafikan adanya gejala rasuah, penafian hak asasi manusia, dsb. Keburukan ini juga harus diakui. Dan saya fikir, nilai-nilai sejagat yang diangkat ini sudah menjadi satu perkara yang umum dan dimiliki bersama khusus dalam pemikiran generasi sekarang tanpa mengira latar belakangnya—sama ada mereka dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan, atau golongan tanpa parti. Secara tidak langsung, ini juga menunjukkan kejayaan aktivisme NGO, pembangkang, serta masyarakat intelektual di Malaysia dalam mengembangkan idea-idea ini. Secara dialektiknya, ia maju ke depan.

Oleh hal yang demikian, perlu ada rasa rendah diri dalam kalangan kita. Sudah tentu, sebahagian mereka yang ada dalam PN sekarang ini juga turut sama-sama berganding-bahu menewaskan BN dalam PRU14 dahulu. Dalam hal ini, gagasan rakyat sebagai puncak kepada perjuangan anti-tesis tersebut sudah diterima; apatah lagi yang membawa gagasan tersebut ialah Tun Mahathir, presiden UMNO merangkap Perdana Menteri paling lama. Jadi kurang tepat untuk kita kelaskan seseorang itu secara hitam-putih—baik dalam kotak UMNO, Pakatan, dsb. Seperti saya katakan tadi, agensi politik ini sangat penting—peranan individu seperti Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Mahathir, dll. ini dapat dilihat sebagai kelompok yang membentuk apa yang dikatakan sebagai kelompok bayangan (imagined community) tersebut. Kehadiran agensi ini juga menjadikan politik itu lebih dinamik, diwarnai oleh individu-individu yang haluan politiknya kadang-kadang terjadi secara kebetulan dan kemudian mencorakkan pula nasib sesebuah bangsa. Tun Mahathir misalnya, tidakpun memikirkan beliau boleh jadi Perdana Menteri, tetapi sebaliknya berlaku dan beliau mencorakkan politik Malaysia serta dominan dalam UMNO serta PH kemudiannya. Begitu juga dengan Tunku. Orang mengatakan bahawa UMNO tidak dapat bertahan tanpa Dato’ Onn, tetapi ternyata sebaliknya yang berlaku apabila ia menjadi parti yang dominan selama lebih 60 tahun.

Dalam konteks semasa, pertikaian antara Azmin Ali dan Anwar Ibrahim juga memainkan peranan penentu yang membawa kepada perubahan ini. Kita lihat ini memang merupakan penentuan yang penting. Mengapa sepanjang Wan Azizah menerajui PKR kita tidak terdengar kekecohan yang besar dalam PKR?; sebaliknya apabila Anwar mengambil alih tampuk pimpinan parti, PKR terus berantakan? Ini masalah gaya politik dan kepimpinan Anwar juga. Mengapa Azmin memilih untuk mengekalkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sekaligus berseberangan dengan Anwar? Nah, inilah punca berlakunya peralihan kuasa tersebut. Hal ini amat kompleks dan perlu diteliti secara halus. Saya fikir agensi individu tersebut memainkan peranan termasuklah individu-individu yang mungkin tidak terlibat secara langsung dengan peralihan tersebut. Jadi kita dapat lihat banyak kebetulan di situ. Mungkin cara gambaran tesis-antitesis-sintesis ini berupa kerangka abstrak yang besar, tetapi pada akhirnya ia ditentukan oleh peranan individu yang memilih untuk turut serta dalam peralihan tersebut. Mengapa Abang Johari, Ketua Menteri Sarawak, memilih untuk bersama Tan Sri Muhyiddin dalam pergelutan tersebut dan bukannya bersama Anwar? Mengapa Anwar gagal memujuknya? Katakan pada hari tersebut Anwar mendapat sokongan penuh daripada Sarawak, maka sudah tentu beliau sudah jadi Perdana Menteri sekarang.

IM: Nampaknya kebetulan ini unsur yang penting dalam politik. Soalannya, adakah ini akan menafikan kepentingan strategi besar (grand strategy)—seolah strategi bukanlah perkara yang penting?

KJ: Kerangka besar ini dapat kita nampak jauh selepas perkara ini berlaku, mungkin selepas 10 tahun dsb. Sekarang kita belum dapat nampak lagi implikasi menyeluruh tindakan-tindakan tersebut. Kita dapat bina analisa kita daripada apa yang kita dapati daripada biografi-biografi tokoh besar Malaysia seperti Tunku, Dato’ Onn, dll. dan kemudian kita dapat lihat betapa kompleksnya perkara tersebut. Kita tidak dapat nafikan peranan ‘nasib’ atau kebetulan dalam politik ini. Kalau dahulu golongan radikal kiri yang memenangi pilihan raya, maka negara kita mungkin mengambil trajektori yang lain. Kita lihat saja Tun Mahathir sendiri—against all odds. Kalau tidak kerana Tun Razak, beliau tidak mungkin kembali kepada UMNO setelah dibuang sebelumnya. Dan selepas kematian Tun Razak, beliau kehilangan pelindung. Namun anehnya, Tun Hussein yang naik menggantikan Tun Razak memilih Tun Mahathir sebagai timbalannya sedangkan mereka tidak begitu rapat. Nah, trajektori ini tidak dapat ditentukan dengan gambaran besar tetapi kita boleh gunakan gambaran ini untuk memahami perkara tersebut.

Perlu dituliskan lebih banyak biografi tokoh-tokoh besar yang mencorakkan politik Malaysia agar dapat kita fahami kompleksiti yang wujud di dalamnya. Begitu juga apa yang berlaku dalam peralihan kuasa terkini. UMNO-BN tumbang setelah lebih 60 tahun memegang tampuk kekuasaan, dan kerajaan PH yang menggantikannya hanya dapat bertahan selama dua tahun. Peranan-peranan Anwar, Azmin, Tun Mahathir, dll. Khalid Samad mengatakan bahawa ia merupakan kesilapan Tun Mahathir kerana meletak jawatan, tetapi beliaulah antara yang mendesak Tun Mahathir untuk cepat-cepat letak jawatan dan berikannya kepada Anwar. Akhirnya mereka sedar bahawa itu adalah satu kesilapan.

Apa yang saya faham daripada apa yang disebutkan sebagai Langkah Sheraton ini—bagi pihak Azmin—adalah suatu langkah defensif untuk memastikan Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sampai hujung penggal. Dalam hal ini, Azmin berseberangan dengan partinya sendiri khususnya Anwar. Kita tahu akan berlaku pergelutan besar antara mereka berdua, dan itulah sebenarnya kesilapan Anwar paling besar lalu menjadi punca kejatuhan kerajaan PH. Walaupun dalam mesyuarat majlis presiden PH, Anwar menunjukkan beliau berundur daripada mendesak Tun Mahathir tetapi itu hanya langkah taktikal saja. Dari segi itu, terlihat bahawa beliau tidak punya keberanian untuk mara ke hadapan kerana sebenarnya beliau tidak mempunyai sokongan yang cukup untuk jadi Perdana Menteri. Beliau menggunakan strategi kubu kosong dan terbukti akhirnya beliau tidak mempunyai angka sokongan yang diperkatakan itu. Keadaan jadi tambah keliru selepas Tun Mahathir letak jawatan dan ramai mengatakan ia adalah salah beliau. Hakikatnya, YDPA yang menentukan siapakah calon Perdana Menteri yang paling layak. Parlimen itu hanya prosedur. Perlembagaan juga menyebutkan bahawa YDPA boleh memilih individu yang dianggap mendapat sokongan majoriti. Dan YDPA membuat keputusan secara teliti dengan menemuduga kesemua ahli parlimen serta memanggil ketua-ketua parti untuk membuat keputusan. Ini juga satu peristiwa dari segi Perlembagaan dan kita berjaya selesaikannya secara aman. Hal ini bermakna institusi raja-raja ini punya peranan yang decisive manakala Perlembagaan Persekutuan kita pula berfungsi. Kita juga dapat lihat kesabaran dan kematangan rakyat Malaysia yang tidak turun ke jalan raya untuk mendesak YDPA. Satu kejayaan yang membanggakan dari segi politik. Sistem sedia ada sudah mantap dan mampu berdepan dengan krisis.

IM: Mungkin ada orang yang tidak faham mengapa perkara ini berlaku. Anda sendiri sebutkan bahawa Tun Mahathir menyatakan ketidakselesaan beliau terhadap PH terutama DAP, dan sudah tentu akan bersetuju dengan idea asal di balik Langkah Sheraton jika kita mengikut rangka yang anda berikan. Soalannya, kalau ini telahan yang tepat, mengapa Tun Mahathir bertindak sebaliknya daripada landasan atau trajektori yang dirancang asal oleh beliau? Persoalan ini masih belum terjawab sampai sekarang.

KJ: Bab itu kena wawancara beliau sendirilah. Siapa yang pengaruhi beliau dsb. Banyak spekulasi tentang tindakan yang diambil beliau. Sedangkan beliau boleh saja kekal sebagai Perdana Menteri tanpa dipersoalkan—cukup sekadar melakukan rombakan kabinet tanpa perlu letak jawatan.

Categories:Interview

Tagged as: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s