Interview

Langkah Sheraton: Perspektif Shamsul Amri Baharuddin

  • Tokoh wawancara: Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Ulung di KITA, UKM
  • Tarikh/tempat wawancara: 20 Mei 2020, KITA
  • Nama projek penyelidikan: 2020/01 – Langkah Sheraton
  • Tema projek penyelidikan: political performance, social perfomance, cultural trauma, cultural sociology

IM: Bagaimana anda menafsir ‘Langkah Sheraton’ (Sheraton Move)?

SAB: Saya tidak melihat Langkah Sheraton dari sudut pergelutan politik (walaupun ia sememangnya melibatkan kuasa). Ia terlalu baru dan mungkin masih terlalu awal untuk kita simpulkannya sebagai suatu langkah politik yang berkesan atau tidak. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu lagi episod pergelutan bangsa idaman (nations-of-intent) yang terzahir dalam apa yang dikatakan sebagai Langkah Sheraton tersebut. Hal ini bermaksud adanya pemisahan antara negara dan bangsa. Di Malaysia ini, kita sudah ada negara (state) tetapi kita masih lagi belum mempunyai—atau menemukan—bangsa (nation) yang bakal memaknai jati diri kita sebagai warga Malaysia secara sepenuhnya. Justeru itu, pergelutan kita dari dulu sampailah sekarang adalah pergelutan untuk memartabatkan sebuah rupa kepada bangsa yang cocok untuk semua serta dipersetujui pula secara bersama—the struggle to have a nation.

Ketiadaan bangsa di Malaysia akibat warisan kolonialisme British dahulu. Pertama-tama sekali, tidak ada mana-mana bentuk kolonialisme yang akan mengiktiraf nasionalisme peribumi. Kita di sini mewarisi corak pentadbiran British. Lantaaran itu, kita ada struktur bernegara tetapi tidak pula rupa kepada bangsa kita. Dalam hal ini, kita harus terlebih dahulu melihat jalur-jalur nasionalisme Melayu yang masing-masing mempunyai bangsa idamannya tersendiri, tetapi berkongsi satu persamaan iaitu berpaksikan kepada Tanah Melayu. Ada tiga: (1) Melayu Raya yang diwakili oleh parti sosialis; (2) negara Islam yang diwakili oleh parti Islam dan; (3) masyarakat majmuk pimpinan Melayu (Malay-led plural society) yang diwakili oleh UMNO. Kolonial British pada akhirnya memilih rupa kepada bangsa yang diwakili oleh UMNO. Kemudian pada tahun 1963 pula, kita dapat lihat satu lagi rupa kepada bangsa idaman iaitu Malaysian Malaysia yang diangkat oleh PAP dan selepas itu DAP. Jadi setakat 1963, wujudnya empat rupa kepada bangsa idaman yang bersaing antara satu sama lain (competing nations-of-intent).

Tahun 1998, muncul satu lagi jalur kepada bangsa idaman berteraskan warga (rakyat nation) yang digembleng oleh Anwar Ibrahim. Setelah disingkirkan daripada UMNO, Anwar didapati menerima sokongan memberangsangkan daripada masyarakat Cina. Bangsa idaman berteraskan rakyat ini memandang semua warga sebagai setara tanpa mengira kaum berbanding bangsa idaman berteraskan Bumiputera. Ini merupakan jalur kelima bangsa idaman yang kemudiannya semakin mendapat tempat dan mengukuh dalam kalangan masyarakat bermula PRU 2008 sehingga PRU 2013. Walau bagaimanapun, perkembangan ini masih belum cukup untuk menyaingi rupa kepada bangsa pimpinan Melayu UMNO-BN. Namun hal ini berubah pada PRU 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya tersebut.

IM: Bagaimana UMNO-BN boleh kalah setelah sekian lama memerintah?

SAB: Memang, soalan yang perlu ditanyakan adalah bagaimana PH mampu mengalahkan UMNO-BN? Selain pelbagai faktor yang sudah dikemukakan oleh sekian ramai penganalisis politik, saya fikir belum ada lagi yang cuba melihatnya dari sudut bentuk bangsa idaman yang ditawarkan oleh PH. Kemasukan parti Bersatu—dan tentu sekali pengaruh Tun Mahathir Mohamed—turut bermaksud masuknya jalur rupa kepada bangsa idaman pimpinan Melayu ke dalam PH. Sebelumnya, kedua-dua parti PKR dan DAP masing-masing tidak mampu untuk menarik sokongan masyarakat Melayu dek bentuk bangsa idaman yang ditawarkan adalah berteraskan kesetaraan warga (iaitu jalur bangsa rakyat dan Malaysian Malaysia). Anwar-PKR memerlukan DAP memandangkan ia tidak mempunyai sokongan masyarakat Melayu yang kuat, manakala DAP pula bergantung kepada Anwar sebagai calon perdana menteri. Kemasukan Bersatu, dan tentu sekali Tun Mahathir, memenuhi lompong tersebut. Di sini, semua jalur bangsa idaman yang saya sebutkan tadi dapat ditemukan dalam gabungan PH. Setiap parti komponen dalam gabungan tersebut membawa versi bangsa idaman masing-masing. Namun, hal ini juga yang menjadi punca kepada keretakan dan kemudiannya kejatuhan kerajaan PH.

Apabila kesemua jalur bangsa idaman ini berkumpul dalam satu gabungan, maka wujudlah konflik. Di satu sisi, ada jalur bangsa warga yang dibawa oleh PKR dan DAP; Amanah di tengah-tengah; dan jalur bangsa pimpinan Melayu yang dibawa oleh Bersatu. PKR dan DAP ini membentuk majoriti kerusi dalam kerajaan PH. Tidak lupa juga pembiayaan-pembiayaan politik yang datang daripada ahli-ahli perniagaan Cina. Apa yang terpapar adalah pengaruh kuat ‘bukan-Melayu’ dalam pentadbiran PH dan ia tidak saja menggusarkan masyarakat Melayu terbanyak tetapi turut mempunyai impak terhadap parti komponen PH. Tabung Haji, MARA, dan sebagainya ‘dibongkar’ satu persatu dalam tempoh 20 bulan pentadbiran PH, dan hal ini ditanggapi sebagai cubaan untuk menggugat kedudukan Bumiputera di negara ini. Persaingan antara bangsa idamn tersebut kelihatan semakin dimenangi oleh jalur warga yang sering dikaitkan dengan Malaysian Malaysia a la DAP, dan tentu sekali masyarakat Cina. Perkara inilah yang menyebabkan Bersatu meninggalkan PH lalu menjurus kepada Langkah Sheraton tersebut.

IM: Apa yang anda sebutkan ini condong beranggapan bahawa ia disebabkan oleh perbezaan ideologi yang wujud dalam PH itu sendiri, dan bukanlah semata-mata didorong oleh kepentingan peribadi. Boleh anda ulas lebih lanjut?

SAB: Boleh dikatakan begitu. Pelaku-pelaku politik ini hanya bertindak balas dengan apa yang sedang berlaku pada ketika itu. Pada masa yang sama, saya fikir jalur pimpinan Melayu ini juga ada masalahnya sendiri dan perlu disemak semula. Mudahnya, kita dapat lihat dan bahagikan evolusi jalur pimpinan Melayu ini kepada tiga: (1) masyarakat majmuk pimpinan Melayu (Malay-led plural society); (2) penguasaan Melayu (Malay dominance) dan; (3) ketuanan Melayu (Malay supremacy).

Model yang pertama itu direncanakan oleh British. Hakikatnya, model masyarakat majmuk pimpinan Melayu ini begitu inklusif sifatnya sesuai dengan komposisi demografi serta mengambil kira segregasi yang kuat dalam masyarakat pada masa itu. Jadi kita lihat penubuhan gabungan Perikatan merangkumi UMNO-MCA-MIC yang merupakan cerminan kepada demografi Malaya. Rasional bagi model pimpinan Melayu ini sudah tentulah kerana masyarakat Melayu, sebagai penduduk asal, mempunyai budaya sempurna—seperti yang diujarkan oleh Ismail Hussein—di Tanah Melayu ini lengkap dengan kerajaan, adat resam, dsb. Saya sarankan agar kita semak semula apa yang dilakukan pada waktu itu utamanya pembentukan Communities Liaison Committee (CLC). Hal ini kerana tempoh masa selepas perang sehinggalah kepada penubuhan Malaysia merupakan kerangka waktu yang penting dalam sejarah kita serta kuat pula pengaruhnya terhadap landskap politik dan sosial Malaysia sekarang.

Keduanya, soal penguasaan Melayu (Malay dominance) pula hanya timbul—atau menjadi popular—pada pertengahan dekad 80-an. Pada tahun 1986, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam sebuah ucapan yang disampaikan di Institute of International Affairs, Singapura, menggambarkan bahawa politik Malaysia adalah berasaskan penguasaan Melayu. Beliau beranggapan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada dekad sebelumnya serta peningkatan golongan kelas menengah Melayu menjelang tahun 80-an hasil dasar tersebut sekaligus merupakan penonjolan penguasaan Melayu ke atas politik negara. Sudah tentu ia segera menimbulkan kontroversi pada waktu itu. Saya sama sekali menolak pandangan ini. Apa sebenarnya yang kita maksudkan apabila kita bercakap tentang dominance? Kita harus maklum bahawa ruang ekonomi dan politik ini dikuasai oleh dua aktor/elit berbeza walaupun kedua-duanya terkait dan saling mempengaruhi. Di satu sisi, kita ada majoriti politik yang didominasi oleh orang Melayu yang mengawal demografi memandangkan populasinya lebih besar, lalu diterjemahkan ke dalam bentuk undi. Manakala di satu sisi lagi kita ada majoriti ekonomi yang sebahagian besarnya didominasi oleh orang Cina. Jadi perihal dominance ini tidak boleh disimpulkan begitu saja seperti yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad. Tanggapan sebegini sekaligus menjulingkan pandangan serta pendekatan kita terhadap perkara asas ini.

Ketiganya perihal istilah ketuanan Melayu. [Label ketuanan (supremacy) cukup bermasalah kerana ia benar-benar melekatkan gambaran yang herot mengenai bentuk pimpinan Melayu yang ada; dan bahkan lebih malang lagi apabila label ini turut dijiwai (internalised) oleh orang-orang Melayu sendiri]. Istilah ‘ketuanan’ ini menggambarkan orang Melayu seolah-olah sama seperti white supremacy a la Klu Klux Klan! [Hilang aspek-aspek inklusif yang ada pada model pimpinan Melayu tersebut]. Istilah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya bagi menggambarkan masyarakat Melayu—lihat saja sebagai contoh di Wikipedia. Penukaran dan penggunaan istilah ‘ketuanan’ sebagai dampingan Melayu ini sekaligus mempunyai kesan terhadap identiti Melayu itu sendiri—baik daripada tafsiran dari luar mahupun tanggapan dari dalam masyarakat Melayu sendiri. Istilah yang sebetulnya dalam menjelaskan perkara ini adalah pimpinan Melayu dan bukannya ketuanan Melayu. Ramai daripada kalangan akademik yang sedar akan hal ini tetapi enggan berlaku jujur dengan fakta sejarah tersebut.

Justeru kita lihat di sini adanya perubahan penggunaan istilah yang didampingkan dengan kata ‘Melayu’ itu—daripada bentuk pimpinan Melayu, kepada penguasaan Melayu, lalu seterusnya menjadi ketuanan Melayu. Namun, sekali lagi, saya tegaskan bahawa model pemerintahan yang diajukan pada ketika itu, dan barangkali relevan sampai sekarang, adalah berbentuk masyarakat majmuk pimpinan Melayu. Tidak ada disebutkan tentang penguasaan Melayu mahupun ketuanan Melayu.

NM: Nampaknya secara asas linguistik pun sudah ada keralatan dan penyelewengan.

SAB: Ya. Ia sebenarnya merupakan keralatan epistemologi yang serius. Apabila mereka mengatakan bahawa ia adalah penguasaan Melayu atau ketuanan Melayu, maka mereka sebenarnya menafikan sebahagian realiti Melayu itu sendiri. Mereka tidak sebutkan tentang kedudukan ekonomi Melayu kerana kita sedia maklum bahawa orang Melayu agak terkebelakang ekonominya sejak dahulu lagi. Jadi ia tidak lebih sekadar sebuah imaginasi, atau lebih tepat lagi merupakan suatu kejulingan intelektual. Mereka beranggapan bahawa Melayu ini serba serbi dominan. Ia tidak benar. Mungkin dari sudut angka yakni jumlah populasi, maka Melayu sememangnya membentuk majoriti dalam lapangan politik. Namun anda harus ingat bahawa orang Melayu tidak bernaung di bahawa satu parti yang tunggal tetapi terpecah kepada enam. Sejak awal lagi sudah terpecah begitu. Lihat misalnya Dato’ Onn yang merupakan pengasas UMNO sendiri keluar daripada UMNO lalu menubuhkan IMP yang berdiri atas semangat kepelbagaian kaum. Jadi apabila disebutkan tentang dasar kepada rupa kepada bangsa Melayu itu, ia sentiasa disandarkan kepada pimpinan Melayu—Melayu sebagai ketua yang memimpin masyarakat majmuk di negara ini. Dalam pengertian sebegini, ia sangat inklusif.

IM: Model pimpinan Melayu ini adalah cerminan kepada politik demografi di negara ini. Namun masyarakat Melayu itu sendiri ada banyak cabang dan variasi, melebihi kepercayaan politik itu sendiri. Soalannya, adakah idea tentang demografi sebagai cerminan penting dalam ideologi parti masih lagi memainkan peranan utama pada masa kini?

SAB: UMNO ditubuhkan untuk menentang pelaksanaan usul Malayan Union tahun 1946. Satu perkara yang kita perlu maklum adalah UMNO itu bukanlah merupakan sebuah entiti tunggal melainkan gabungan 32 kumpulan-kumpulan Melayu. Mereka bersatu di bawah UMNO pada ketika itu adalah untuk melawan musuh bersama, dan ini jelas sekali. PKMM yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam juga menyokong UMNO; termasuklah PAS. Jadi anda harus berhati-hati di sini dan tidak melakukan generalisasi. Apa yang ditanggapi sebagai pimpinan Melayu yang tunggal itu sebenarnya merupakan suatu kerencaman. Kita cenderung untuk generalisasikan pimpinan Melayu—yang direpresentasikan oleh UMNO—sebagai suatu yang homogen tanpa menyedari bahawa ia sebenarnya terbentuk daripada komponen-komponen yang heterogen. Dan ciri heterogen ini terpapar secara jelas lewat tiga jalur nasionalisme Melayu iaitu masyarakat majmuk pimpinan Melayu, negara Islam, dan Melayu Raya. Jadi orang Melayu ini memang sudah sedia terpecah dari segi politik dan ideologi.

Walaupun istilah ‘penguasaan Melayu’ itu sentiasa meniti di bibir pendukungnya, tetapi sukar untuk mengatakan bahawa Melayu ini sememangnya dominan. Dan seperti saya sebutkan sebelumnya, pandangan bahawa Melayu ini dominan adalah semata-mata bersandarkan kepada demografi negara ini. Saya fikir mereka yang ada dalam CLC dahulu pasti sudah menyedari bahawa Melayu ini sememangnya tidak bersatu—dan barangkali tidak pernah bersatu dalam konteks kaum.

Jika kalangan Melayu banyak mengambil pandangan Abdullah Ahmad dan menganggapnya sebagai penguasaan Melayu bersandarkan kepada hujahan DEB, maka kaum lain mentah-mentah memanggilnya ketuanan Melayu (dengan rujukan yang mirip kepada white supremacy). Jika anda perasan, wacana hak asasi manusia di negara ini sebahagian besarnya didominasi oleh kaum lain. Anggapan saya, mereka ada rasa ketidakadilan terutama dalam kalangan mereka yang lahir dan dibesarkan di Malaysia apabila berulang-kali diingatkan bahawa mereka ini ‘pendatang’ (dalam pengertian yang negatif). Keresahan mereka ini berasas. Namun dari sudut akar kebudayaan dan kesejarahan di tanah ini, maka mereka tidak ada yang itu—yakni, tidak ada sumber-sumber intelektual dan budaya setempat yang murni. Dalam erti kata lain, berbalik kepada ‘budaya sempurna’ masyarakat peribumi yang mana latar sejarahnya berakar dan bertumbuh di tanah ini.

Anda pasti biasa dengar pepatah Inggeris, thinking outside of the box. Kalau kita ini, ada pepatah katak di bawah tempurung. Orang Melayu mampu berfikir di luar kotak, ini sudah terbukti. Dari satu sisi lain pula, boleh dikatakan bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak terlepas daripada satu lagi ‘tempurung’ iaitu keluarga diraja serta dalam konteks lebih besar jati diri kenegerian. Misalnya orang Johor dengan ‘bangsa Johor’, ‘bangsa Kelantan’, ‘bangsa Perak’, dsb. Dan anda harus ingat nuansa kenegerian ini serta-merta terkait dengan kesultanan negeri masing-masing—pengakuan sebagai subjek kepada kerajaan tertentu.

IM: Berbicara soal ini, mungkin Negeri Sembilan sebagai contoh menarik, apatah lagi anda sebagai anak negerinya?

SAB: Memang. Negeri Sembilan ini berbeza dengan negeri-negeri Melayu lain kerana ia tidak mempunyai raja. Negeri Sembilan ada sistem tersendiri untuk memilih seseorang daripada keturunan Minangkabau untuk diangkat sebagai pemerintah. Persekutuan Negeri Sembilan ini ditubuhkan pada tahun 1773 apabila Raja Melewar dijemput datang untuk dijadikan pemerintah negeri ini. Kalau dilihat, persekutuan ini terbentuk tiga tahun lebih awal daripada persekutuan Amerika Syarikat (1776). Kesediaan orang Negeri Sembilan untuk menjemput orang luar menjadi pemerintah pada ketika itu secara tidak langsung menunjukkan kemajuan intelektual serta kehalusan pemikiran masyarakat Negeri Sembilan mengenai soal pentadbiran serta pemeliharaan keamanan.

Jadi anda harus ingat betul-betul, bahawa sepanjang sejarah tanah ini sehinggalah kepada Malaysia sekarang, kita telah mempunyai tiga persekutuan yang saya fikir mempunyai kesan besar terhadap pembentukan jati diri dan pembentukan bangsa idaman—Persekutuan Malaysia, Persekutuan Tanah Melayu, dan sudah tentu persekutuan yang terawal iaitu Negeri Sembilan. Justeru apabila kita dekati perkara ini dari sudut parti politik, maka tidak hairanlah jika kita mempunyai aneka jalur bangsa idaman ini; Melayu dengan tiga jalurnya, Cina dengan Malaysian Malaysia, dan satu lagi jalur rakyat yang dibawa oleh PKR. Dan seperti saya katakan sebelumnya, keluarnya Bersatu daripada PH pada Februari 2020 adalah disebabkan oleh pengaruh bangsa berjalurkan warga yang dirasakan semakin ‘tidak terkawal’. Maka Langkah Sheraton, sebagai asas perbincangan kita di sini, adalah bukti empirikal yang terzahir lewat pergelutan jalur-jalur bangsa idaman ini.

Anda harus sedar akan dua perkara ini—tentang negara (state) dan bangsa (nation). Di satu sisi, kita ada negara tanpa bangsa; dan di satu sisi lain kita ada pula persaingan antara bangsa idaman dalam memartabatkan sebuah rupa kepada bangsa Malaysia. Saya sudah menulis tentang perkara ini sejak tahun 1996 dan saya tidak lihat adanya perubahan dalam pergelutan ini. Cuma apa yang berubah adalah model kepimpinan iaitu daripada masyarakat majmuk pimpinan Melayu kepada penguasaan Melayu, dan terkini ketuanan Melayu. Namun kita masih lagi tercari-cari rupa unggul kepada bangsa Malaysia tersebut—ia belum selesai.

IM: Adakah psiki Melayu ini masih merupakan unsur penting dalam politik? Adakah masih lagi relevan bagi parti-parti politik untuk cuba memahami denyut nadi Melayu dalam percaturan politik mereka?

SAB: Itu apa yang mereka katakan. Tapi sebenarnya, tidak. Ia bukannya persoalan sama ada hal psiki Melayu tersebut penting atau tidak. Setelah pemerintahan PH, barulah mereka (ahli politik Melayu dan Bersatu khususnya) menyedari bahawa apa yang mereka miliki sekarang ini yakni aset-aset pemilikan serta keistimewaan-keistimewaan Bumiputera dapat ‘dibongkar’ satu-persatu oleh sekumpulan kecil manusia di dalam gabungan tersebut. Saya fikir Bersatu sudah berulang-kali diingatkan oleh UMNO akan hal ini tetapi mereka memerlukan bukti untuk benar-benar pasti. Dan Langkah Sheraton merupakan hasil daripada kepastian tersebut—the proof is already eating the pudding.

IM: Adakah keluarnya Bersatu dari PH untuk bergabung bersama UMNO dan PAS ini umpama sirih pulang ke gagang?

SAB: Ya. Jadi ia kembali kepada jalur pimpinan Melayu. Orang-orang Melayu yang ikut pemimpin-pemimpin mereka ke Bersatu dll. Mereka ini semua sama ada sedar atau tidak masih lagi percaya akan bentuk kepimpinan sebegini.

IM: Menariknya, jalur pimpinan Melayu ini turut diangkat oleh PAS dan lebih menonjol berbanding corak kepimpinan Islam yang dibawanya.

SAB: Tentu sekali. Namun anda perlu lebih teliti dalam melihat dinamik hubugan tersebut. Pada satu sisi, UMNO dan PAS bergabung di bawah perpaduan ummah; manakala di sisi satu lagi, UMNO kekal bergabung dengan MCA dan MIC di bawah BN, bahkan ia tidak memakai bendera UMNO tetapi BN. Jadi menarik untuk melihat dinamik hubungan ini dalam konteks UMNO dan PAS.

IM: Pastinya dinamik ini membentuk perspektif anda dalam menafsir politik Malaysia?

SAB: Itu bukanlah pelik, malah sudah memang sudah ketara betapa terdapat dinamik baharu dalam pencarian bangsa idaman di Malaysia ini. Asalnya, ia melibatkan perubahan rupa kepada bangsa idaman yang dicetuskan dalam CLC, Malayan Union 1946, Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan seterusnya. Dan dalam CLC inilah bermulanya apa yang kita panggil politik permuafakatan serta penzahiran rupa kepada bangsa masyarakat majmuk pimpinan Melayu lewat rundingan antara pemimpin-pemimpin Melayu yang diwakili oleh UMNO dengan pimpinan Cina diwakili oleh MCA dan pimpinan India diwakili oleh MIC. Maka terbentuklah kerajaan Perikatan sehingga tertubuhnya BN.

Jadi kita tidak boleh dekati perkara ini secara semberono saja. Ada sejarah dan genealoginya. Namun saya perlu ingatkan anda bahawa apa yang dikatakan sebagai ‘pilihan raya’ tersebut, baik Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1952, Pilihan Raya Umum Pertama 1955, dan seterusnya ini bukanlah suatu praktik demokrasi yang sebenarnya melainkan hanya bersifat administratif. Mungkin satu kaedah kawalan sosial. Pilihan raya administratif ini berlanjutan setidaknya sampai tahun 1990. Bermula Pilihan Raya 1999, kita dapat lihat peningkatan literasi politik yang ketara—lebih ramai orang mula sedar dan memahami maksud demokrasi. Namun arus bawah yang kekal mempengaruhi gerak politik ini masih lagi bersandarkan kepada pergelutan rupa kepada bangsa yang diidam-idamkan.

Categories:Interview

Tagged as: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s