Interview

Langkah Sheraton: Perspektif Khalid Samad

  • Tokoh wawancara: Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam
  • Tarikh wawancara: 16 Mei 2020, menerusi emel
  • Nama projek penyelidikan: 2020/01 – Langkah Sheraton
  • Tema projek penyelidikan: political performance, social perfomance, cultural trauma, cultural sociology

Memory Studies (MS): Adakah Langkah Sheraton merupakan suatu peristiwa yang sangat mengejutkan anda?

Khalid Abdul Samad (KAS): Sememangnya Langkah Sheraton sangat memeranjatkan. Kami tidak sangka bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin (TMSY) sanggup untuk khianat terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun) sehingga sebegitu rupa. Manakala, menurut saya, kedudukan Azmin Ali pula telahpun diketahui lebih awal, dan perkara ini kita serahkan kepada PKR untuk menguruskan masalah Azmin tersebut. Dalam pada masa yang sama, kita juga mengetahui bahawa Azmin berserta pengikut-pengikutnya takkan mampu menjejaskan kedudukan PH kerana mempunyai jumlah kerusi yang terhad.

Sejauh mana PH telah terpukul dengan dampak Langkah Sheraton?

Memang Langkah Sheraton merupakan satu pukulan yang hebat sehingga pada permulaannya ada yang turut menuduh Tun sendiri terlibat. Ini kerana mereka tidak mampu memahami kenapa Tun meletakkan jawatan sebagai PM tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan yang lain. Walau bagaimanapun, pertamanya, kita perlu ingat bahawa yang paling hebat terpukul adalah Tun kerana orang kepercayaannya sendiri yang akhirnya mengkhianatinya. Keduanya, Tun merasakan dirinya ditinggalkan seorang diri lantaran semua yang berada dalam PH adalah penyokong Anwar. Namun begitu, kami yakin ianya satu tamparan yang akan dapat kami tangani dengan baik dan PH insyaAllah akan kembali seperti sediakala, dan kali ini kembali tanpa pengkhianat-pengkhianatnya.

Sebagai ahli kabinet PH bersama dengan Muhyiddin, Azmin dan beberapa lagi, apakah PH telah gagal mengesan politik licik mereka dari awal sehingga mereka dibiarkan merencana Langkah Sheraton dengan sewenang-wenangnya? Mengapa dibiarkan? Apakah Mahathir wajar dipersalahkan?

Kami tak sangka TSMY mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri (PM) dan akan sanggup mengkhianati Tun. Sudah tentu, kami boleh dipersalahkan, tetapi dalam pada masa sama, kami tak mungkin dapat bergerak bersama dalam satu pasukan sekiranya saling mencurigai antara satu sama lain. Justeru itu, adalah tidak wajar untuk disalahkan Tun sahaja. Lagipun, TSMY sendiri tidak mungkin akan melakukan Langkah Sheraton tanpa sokongan dan dokongan Azmin. Oleh itu, Azmin dan apa yang dinamakan sebagai Kartelnya, adalah mereka yang paling beperanan dalam Langkah Sheraton yang malangnya ini tidak mampu dibendung oleh PKR.

Sebagai ahli politik berpengalaman dan ahli kabinet kerajaan PH, apakah anda merasakan bahawa Mahathir memang keberatan (ataupun sengaja melengah-lengahkan) menyerahkan jawatan PM kepada Anwar?

Penyerahan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim sebenarnya turut dibebankan dengan persoalan akan kesediaan dan keredhaan penerimaan penyerahan jawatan tersebut oleh TSMY, Azmin Ali dan juga Warisan. Ini yang dibayangkan oleh Tun apabila dinyatakan bahawa Anwar tetap memerlukan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk diterima sebagai PM. Saya merasakan masalah ini tidak selesai dan tidak ditangani sebaik-baiknya oleh Tun sehingga persoalan penyerahan jawatan itu tidak dapat dimuktamadkan tarikhnya. Namun demikian, Tun telah diberi mandat oleh Majlis Presiden PH yang bermesyuarat pada 21hb Februari 2020 untuk terus memegang jawatan tersebut sehingga Tun sendiri ingin melepaskannya, yakni selepas APEC. Asalnya, kami semua anggap bahawa keputusan pada mesyuarat tersebut telah dapat meredakan suasana, akan tetapi TSMY dan Azmin tetap bertindak meskipun tanpa persetujuan Tun.

Menurut anda, mengapakah Mahathir tidak pernah mengkritik keras tindakan Azmin Ali walhal peranannya sangat sentral dalam Langkah Sheraton?

Tun lebih menumpukan kritikan terhadap TSMY kerana TSMY adalah orang kepercayaannya sendiri. Manakala Azmin, bagi pandangan saya, hanya seorang yang Tun ingin manfaatkan sokongan Azmin terhadap dirinya. Ini kerana Tun menganggap dirinya berada dalam satu gabungan yang hakikatnya terdiri daripada parti-parti yang menyokong Anwar melebihi mereka yang menyokong dirinya. Dengan adanya Azmin, maka itu adalah satu kemudahan bagi Tun untuk mengukuhkan kekuatannya dalam PH. Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa Azmin adalah Timbalan Presiden Keadilan dan selalu mendakwa bahawa dirinya mempunyai sokongan yang ramai. Oleh itu, dengan adanya Azmin, maka Tun merasakan sokongan terhadap dirinya dalam PH lagi mantap, ditambah lagi sokongan asas daripada PPBM dan Warisan. Oleh itu, pengkhianatan Azmin sebenarnya tidaklah begitu menyakitkan Tun.

Walau bagaimanapun, jawapan tepat perlu diperolehi dari Tun sendiri. Itu pandangan saya yang membaca suasana ini daripada jauh.

Apakah Langkah Sheraton boleh kita anggap sebagai suatu langkah politik yang pintar?

Kalau khianat adalah sama dengan bijak, maka bolehlah dikatakan ‘bijak.’ Bagi saya, tindakan khianat merupakan tindakan bodoh kerana walaupun tercapai matlamat kita pada masa tersebut, itu hanyalah suatu pencapaian dalam jangka pendek. Namun, kesan daripada pencapaian jangka pendek tersebut, nama buruk kita akan terpalit sepanjang sejarah. Lainlah kalau dikhianati atas sebab prinsip yang jelas atau atas sebab salah-laku tertentu. Namun dalam keadaan itu sekalipun, proses awal perlulah dilakukan terlebih dahulu, seperti teguran dan amaran sebelum akhirnya melakukan tindakan ‘khianat’.

Bukankah Amanah juga terbentuk hasil daripada ‘pengkhianatan’?

Tindakan kami daripada AMANAH, ‘mengkhianati’ PAS dengan keluar daripada PAS dan menubuhkan AMANAH adalah kerana para pimpinan PAS pada tahun 2013 ingin khianat terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan bermesra dengan UMNO. Walaupun kami bertanding atas lambang PAS, tiada siapapun boleh nafikan bahawa kami daripada PAS pada masa tersebut telah menang atas nama PR.

Sejauh bacaan anda, adakah anggota kabinet PH daripada Bersatu tidak komited untuk menjayakan agenda/manifesto Kerajaan PH?

Saya merasakan PH bertindak sebagai gabungan yang padu pada peringkat awalnya. Semua pihak berusaha memenuhi tuntutan Manifesto PH tetapi berbeza pandangan berhubung keutamaan dan kemampuan dalam melaksanakan sesuatu janji. Lebih-lebih lagi, tatkala suatu janji yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Namun, banyak daripada janji yang disebut seperti reformasi institusi dan struktur pemerintahan telahpun mula dilaksanakan. Dalam soal perbezaan pandangan berhubung keutamaan dan kemampuan pula, ianya selalu dibahas dalam kabinet bagi memperoleh suatu keputusan bersama. Saya boleh nyatakan di sini bahawa terdapat banyak program yang telah ditunda perlaksanaannya pada tahun 2018 & 2019, dan telah dirancangkan untuk dilaksanakan pada tahun 2020 (termasuk isu PTPTN). Malangnya kami dikhianati dan dijatuhkan lebih awal, sebelum perlaksanaan tersebut dapat dilakukan.

Selepas tumbang Kerajaan PH, Mahathir pernah menyatakan bahawa Anwar gila-gila mahu menjadi PM. Anda bersetuju?

Tidak. Ini kerana Anwar telah bersetuju ketika mesyuarat Majlis Presiden pada 21hb Feb 2020 itu untuk serahkan kepada Tun dalam menetapkan tarikh penyerahan jawatan tersebut. Saya rasa yang dimaksudkan Tun adalah penyokong Anwar yang sering mengeluarkan kenyataan meminta Tun letak jawatan dan serah jawatan PM kepada Anwar. Saya yakin Azmin, khususnya, telah meyakinkan Tun bahawa ini semua dilakukan atas arahan Anwar sedangkan Anwar sering memohon maaf kerana tidak dapat mengawal sebahagian penyokong-penyokongnya.

Adakah Mahathir tidak ada budaya perbincangan dan muafakat dalam membuat sesuatu keputusan? Mahathir gemar membuat keputusan secara unilateral atas alasan hak prerogatifnya? Perlantikan Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sebagai anggota kabinet PH awal sehinggalah kepada pelantikan Lafeefa Koya sebagai Ketua Pengarah SPRM boleh menjadi bukti perkara ini. Kemuncaknya, Mahathir juga tidak berbincang dengan Majlis Presiden PH sebelum meletak jawatan sebagai PM.

Dalam soal perlantikan kabinetnya, Tun telah meminta diberi hak memilih anggota kabinetnya. Secara umumnya, ini dipersetujui kerana difahami bahawa Tun perlu mereka yang boleh berkerja dengannya. Dalam soal ini Tun telah menentukan jumlah jawatan yang hampir sama diagihkan antara semua parti komponen dan ini ternyata lebih menghampiri semangat kemenangan kolektif oleh PH dan bukan berpunca daripada mana-mana satu parti sahaja. Hakikatnya, semua kerusi dimenangi atas sokongan terhadap PH dan semua parti menyumbang kepada kemenangan setiap kerusi. Hanya jumlah kerusi yang ditandingi berbeza atas faktor-faktor tertentu. Dalam soal budaya perundingan memang secara umumnya ianya diamalkan, kecuali dalam beberapa situasi. Itu sebabnya mesyuarat kabinet mengambil masa sehingga 3 ke 4 jam. Tetapi tidak dapat dinafikan, ada juga keputusan yang dibuat oleh Tun tanpa berbincang dengan semua pihak, khususnya perlantikan-perlantikan tertentu namun bagi pandangan saya secara peribadi, ianya bukanlah dalam kebanyakan kes.

Apakah kesilapan terbesar Mahathir sehingga tumbangnya Kerajaan PH?

Bagi saya kesilapan terbesar Tun adalah tindakan meletakkan jawatan sebagai PM yang kemudiannya diambil kesempatan oleh TSMY dengan membawa keluar PPBM dari PH pada ketika itu juga. Ini menyebabkan PH berpecah dan tidak mampu berbincang untuk menetapkan calon pengganti dari PH untuk Tun. Sebenarnya keadaan kekecohan yang sama mungkin sahaja boleh berlaku pada saat kemudian, di mana Tun ingin meletak jawatan untuk diserahkan kepada Anwar. Mungkin dalam situasi yang dibayangkan ini, lalu TSMY, Azmin dan Warisan pula boleh sahaja tiba-tiba menarik sokongan mereka dan keluar dari PH. Oleh itu, keadaan yang sama seperti sekarang boleh sahaja berlaku pada masa-masa mendatang. Sebab itu, saya fikir Tun tidak boleh letak jawatan sehingga isu penggantinya, yakni Anwar, dapat diterima dengan baik oleh semua. Malangnya Tun letak jawatan pada pagi 24hb Feb 2020 dalam suasana kekecewaan tanpa melakukan perbincangan dengan mana mana pihak. Barangkali ini berlaku lantaran Tun merasakan para penyokongnya sudah tiada dalam PH dan kalau dibincang dengan PH, maka yang tinggal kesemuanya adalah para penyokong Anwar.

Rujukan projek penyelidikan:

Alexander, Jeffrey (Ed.). 2006. Social Performance: Symbolic Action, Cultural Pragmatics, and Ritual. Cambridge: Cambridge University Press.

Alexander, Jeffrey. 2011. Performance and Power. Cambridge: Polity.

Mast, Jason L. & Alexander, Jeffrey (Ed.). 2018. Politics of Meaning/Meaning of Politics: Cultural Sociology of the 2016 U.S. Presidential Election. Cham: Palgrave Macmillan.

Mast, Jason. L. 2012. The Performative Presidency: Crisis and Resurrection during the Clinton Years. Cambridge: Cambridge University Press.

Categories:Interview

Tagged as: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s