Essay

Halbwachs: Mengapa Ingatan Ramai?

Dalam mengamati masa lalu, gagasan ingatan ramai (collective memory) dianggap sebagai salah satu alat dan lensa yang mula diminati oleh kalangan penyelidik. Malah, bukan penyelidik dalam bidang sosiologi dan anthropologi semata turut terseret dengan gagasan ini, sehingga idea mengenai ingatan menjadi suatu perbincangan antara-displin dan rentas-displin.

Untuk meneliti perkara ini, adalah lebih baik kita mulakan terlebih dahulu dengan satu sumber akademik utama mengenai ingatan ramai, yakni dari buah fikiran seorang ahli sosiologi Perancis yang sekian lama disisihkan serta sering dibayangi oleh mentornya, Émile Durkheim. Pemikir awal abad ke-20 ini memang secara jelas telah memperbahaskan mengenai hubungan antara ingatan dan ramai. Dan, menurut pengarang buku “On Collective Memory” ini, ingatan memang bersifat keramaian.

Malah, baginya, manusia secara individu sekalipun tetap mengingat sesuatu perkara lantaran pengaruh keramaian. Ini kerana, kita dalam konteks seindividu mana sekalipun tetap sahaja bersentuhan dengan manusia lain dan alam. Faktanya, tidak pernah manusia bersendiri, terasing dan berpisah dari manusia lain dan alam. Dalam istilah sosiologi, inilah yang dinamakan sebagai “kemasyarakatan” (social).

Maka, jelas sekali, manusia tidak pernah menjadi satu entiti yang sepenuhnya bersifat individu. Kita berseteru, kita bersekutu, kita berkeluarga, kita berkerja, hatta kita mati sekalipun tetaplah dalam suatu suasana yang melibatkan peranan “yang lain” (the Other). Memang, suatu lumrah yang tidak dapat dielakkan lagi bahawa manusia sentiasa hidup dalam keramaian.

Dalam terma Halbwachs, cadres sociaux (kerangka kemasyarakatan), manusia adalah tidak terlepas dari melakukan interaksi dan komunikasi dengan lingkungannya. Dan, dengan ini juga, manusia memperoleh makna kehidupannya merujuk kepada pertimbangan yang dilakukannya sewaktu interaksi dan komunikasi tersebut.

Menerusi perolehan makna kehidupan ini, manusia akhirnya mampu menyusun, menaksir dan menakrif pengetahuan yang dimilikinya tersebut bagi mengurus kehidupan bermasyarakatnya. Inilah yang akhirnya boleh disebut sebagai pengetahuan yang dikongsi (shared knowledge) dan pengalaman kebudayaan (cultural experience).

Atas asas ini, Halbwachs tidak melihat wujudnya ingatan individu secara mutlak. Meskipun, jangan salah faham di sini, bahawa beliau tidaklah menafikan bahawa adanya ingatan individu, akan tetapi beliau berpendapat bahawa ingatan individu tidak tuntas kerana pengaruh ingatan ramai.

Kalau boleh, izinkan saya memetik kembali kata-katanya sendiri dalam bukunya tersebut, yang saya terjemahkan dengan bebas:

“seseorang boleh sahaja berkata bahawa individu mengingat dengan meletakkan dirinya dalam perspektif kumpulan, namun seseorang juga boleh menegaskan betapa ingatan kumpulan mampu menyedari dan memanifestasi dirinya dalam ingatan-ingatan individu.” (Halbwachs 1992: 40)

Jadi, di sini, kita menyaksikan betapa Halbwachs dengan ketaranya berpendapat bahawa hanya dalam ingatan ramai sahajalah ingatan individu dapat dikesan dan diamati ekoran setiap pandangan individu tidak bebas dari dicorakkan oleh ingatan ramai.

Hujah bahawa ingatan individu terangkum dalam ingatan ramai di atas mungkin sahaja kedengaran biasa-biasa sahaja. Halbwachs sedar hal ini. Sebab itu, beliau tidak berhenti begitu sahaja. Malah, baginya lagi, ingatan ramai juga boleh diperhatikan dari fenomena yang dinamakan sebagai “ingatan antara-kegenerasian” (intergenerational memory).

Untuk memahami butiran ini, maka lebih mudah untuk kita mengambil aspek kekeluargaan sebagai bahan contoh. Di sini, ingatan kekeluargaan adalah suatu bentuk ingatan antara-kegenerasian. Sebabnya, kita dapat berkongsi cerita leluhur kita kesan jalinan ingatan antara satu generasi kepada satu generasi yang berikutnya.

Mungkin sahaja kita tidak pernah bertemu dengan nenek moyang kita. Akan tetapi, kita memiliki cerita mengenainya yang telah diturunkan dari orang tua kita. Inilah yang dinamakan sebagai ingatan ramai dalam konteks ingatan antara-kegenerasian. Ingatan seperti ini tidak semestinya kita alami secara langsung. Bahkan, cukup sekadar ianya diwariskan sebagai cerita keluarga.

Mungkin ada yang ingin bertanya: apa fungsi ingatan antara-kegenerasian ini? Kebanyakan ahli sosiologi dan antropologi percaya bahawa ingatan ini sangat penting dalam pembentukan identiti, khususnya kepada keluarga tersebut.

Di sini, sesuatu perkara boleh diingati berdasarkan kepada bagaimana cara sesuatu kumpulan memandang dirinya sendiri. Jadi, dengan terlibat dalam kegiatan berkumpulan, seperti dalam ritual dan perayaan, itu sekaligus menandakan bahawa dirinya menjadi anggota kepada kumpulan tersebut. Inilah yang menjadi asas kepada rasa kepunyaan (sense of belonging) yang yang lantas membentuk suatu identiti yang tersendiri.

Selain dari dua hujah di atas, yakni selain dari hujah kerangka kemasyarakatan dan ingatan antara-kegenerasian, Halbwachs turut mengutarakan bahawa bahawa ingatan ramai ini boleh ditinjau dari perpindahan kebudayaan dan pembentukan tradisi. Ini dapat disedari betapa ingatan ramai dapat membina rangkaian masa kini dengan masa lalu.

Dalam contoh ingatan antara-kegenerasian, ia mampu merangkaikan generasi masa lalu dengan generasi masa sekarang. Manakala, dalam contoh kerangka kemasyarakatan pula, ia dapat merangkaikan sesuatu tradisi zaman berzaman. Dalam kata lain, ingatan ramai dapat melekat pada kita menerusi simbol-simbol, benda-benda, peristiwa-peristiwa (ini boleh juga dipanggil sebagai budaya bendawi, material culture) yang akhirnya membentuk identiti kita yang bitara.

Untuk lebih memahami hal ini, perhatikan sambutan Hari Raya Puasa. Ia bukanlah sekadar sambutan keagamaan semata. Malah, ia juga merupakan imbasan dari ingatan ramai. Demikian juga sambutan Hari Kemerdekaan. Ini semua adalah manifestasi dari ingatan ramai yang dibingkai dalam ingatan keagamaan (religious memory) dan ingatan kebangsaan (national memory).

Bukti lain ialah monumen dan tempat bersejarah yang mana ini memaparkan bagaimana benda-benda dapat bertindak sebagai pembawa ingatan dalam menyambungkan masa lalu dengan masa kini.

Justeru, sorotan-sorotan di atas dengan ini jelas memaparkan betapa keterkaitan antara ingatan dengan keramaian. Ini semua telah dirangkum dalam hujah-hujah: (i) kerangka kemasyarakatan, (ii) ingatan antara-kegenerasian, dan (iii) perpindahan kebudayaan dan pembentukan tradisi, adalah antara garis penghujahannya betapa gagasan ingatan ramai ini berupaya menawarkan cara dan erti kepada kita dalam menekuni masa lalu.

Categories:Essay

Tagged as: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s